Thursday, August 09, 2007

Ahli Majlis Daerah didakwa cuti guna wang rakyat

JOHOR BAHRU 8 Ogos – Aduan mengenai Ahli Majlis Daerah yang didakwa bercuti menggunakan wang rakyat dibangkitkan pada sesi pendengaran awam Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Rakyat Mengenai Integriti di sini, hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa tersebut, Datuk Dr. Wan Hashim Wan Teh berkata, sehubungan itu, pihaknya akan memanggil Yang Dipertua Majlis Daerah terbabit untuk menjawab dakwaan berkenaan.
Selain itu, beliau berkata, orang awam turut membangkitkan sistem perkhidmatan kaunter di pejabat-pejabat kerajaan yang kurang memuaskan.
‘‘Turut dibangkitkan ialah kerisauan masyarakat Johor Bahru mengenai kadar jenayah yang tinggi,’’ katanya.
Beliau menyatakan demikian kepada pemberita sempena kunjungan sesi pendengaran awam jawatankuasa tersebut yang diadakan secara tertutup di Bangunan Sultan Ibrahim di sini.
Turut menganggotai jawatankuasa berkenaan ialah Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur), K. Devamany (BN-Cameron Highlands) dan Tan Lian Hoe (BN-Bukit Gantang).
Jawatankuasa tersebut akan menjalankan sesi pendengaran awam di Melaka esok sebelum ke Perak dan Kedah minggu depan.
Wan Hashim berkata, wakil-wakil pertubuhan sosial pula membangkitkan masalah kekurangan kemudahan perkhidmatan awam kepada orang kurang upaya (OKU).
Beliau berkata, turut dikemukakan ialah masalah kemudahan tempat meletak kereta di jabatan-jabatan kerajaan di daerah ini yang sangat terhad.
‘‘Ia menyebabkan masa para pengguna terbuang apabila terpaksa menunggu atau berpusing beberapa kali untuk mendapatkan tempat meletak kereta,’’ katanya.
Mengenai media yang dilarang mengikuti pendengaran awam tersebut sedangkan ia bertujuan meningkatkan integriti dan ketelusan, Wan Hashim menjelaskan, beliau akan menimbang perkara tersebut.
‘‘Tujuan utama pendengaran ini ditutup kepada media ialah untuk melindungi identiti pengadu yang membangkitkan sebarang isu,’’ katanya.
DPPK Pulai : Bagaimana pula dengan Menteri dan MP yang bercuti menggunakan wang rakyat tetapi berselindung dengan lawatan kerja?