Minggu ini merupakan minggu yang agak suram bagi rakyat Malaysia, bukan sahaja kerana aib yang dipalit oleh skuad bola sepak malaysia tetapi juga kerana sekali lagi Helikopter Nuri meragut korban nyawa.
Skuad Bola Sepak Yang Malang
Skuad bola sepak malaysia sekali lagi dikritik hebat akibat persembahan taraf divisyen 3 di kejohanan Piala Asia yang sedang berlangsung. Ini bukanlah kali pertama skuad negara dikritik dan saya sendiri pada awalnya malas untuk mengulas perkara ini, namun akibat banyak pandangan dan episod yang tidak berkesudahan dalam akhbar maka saya ulas perkara ini.
Perjalanan bola sepak Malaysia saya lihat ada turun naik semenjak era semi pro lagi. Kita tidak boleh menafikan bahawa kita pernah beraksi sangat baik sehingga menghadirkan bangga kepada masyarakat dinegara ini. Dibawah kendalian Wan Jamak kita hampir menewaskan Thailand pada final Piala Tiger dengan persembahan bertenaga ketika itu, pemain-pemain seperti Zainal Abidin, K. sanbagamaran, Khairul Azman jelas cukup hebat dan mendapat pujian melambung tetapi sanyangnya pada Sukan Sea selepas itu kita diaibkan Laos dan tersingkir dari di peringkat kumpulan. Satu-satu individu yang disalahkan ialah Wan Jamak dan meletakkan jawatan walaupun beliau pernah dianugerahkan jurulatih terbaik Asia pada sekitar tahun 95-96.
Selepas itu era Allan Harris, ketika saya diuniversiti ramai kawan-kawan menyatakan saya menyokong Singapura kerana berasal dari Johor bagi Piala AFF tetapi hakikatnya kecintaan pada Malaysia tidak pernah goyah dan malam itu kita menang 4-0 tetapi terkandas di separuh akhir di Jakarta. Selepas itu Allan Harris digantikan dengan Bertalan Bisckei dan kemudian Norizan Bakar.
Hari ini dua penolong jurulatih Malaysia pula diarah melepaskan jawatan. Masalahnya adakah perkara ini akan menyelesaikan semua masalah yang timbul? Jawapannya tidak...
FAM wajar mencontohi BAM dalam aspek perubahan. Kita mesti berani membuat perubahan dan kejayaan pasti terhasil. BAM apabila bebas dari pengaruh politik nampaknya semakin gah dan dengan kehadiran jurulatih terbaik menyebabkan ia semakin bersinar diperingkat antarabangsa. Langkah pertama BAM ialah menukar pemimpin sedia ada dengan mereka yang mempunyai komitmen dan kecintaan penuh terhadap sukan badminton.
Itulah yang wajar dilakukan oleh FAM, gantikan pemimpin yang hanya pandai beretorik dengan yang ada perancangan. Janganlah kerana mengejarkan kedudukan sanggup skuad terus dihina.
Nahas Nuri
Helikopter Nuri nampaknya terus menagih korban nyawa. Kemalangan kali ke 18 ini telah meragut 95 nyawa. Apa lagi yang hendak diulas tentang Nuri ini jika tidak kepada Kementerian Pertahanan sendiri.
Bayangkan Helikopter ini telah digunakan semenjak tahun 1968 iaitu 40 tahun yang lalu, maka tida mustahil banyak komponen dan alat gantinya telah tiada dipasaran atau telah out of date.
Namun kerana kebobrokan kepimpinan BN mereka langsung tidak rasa malu, sepatutnya Menteri Pertahanan mengambil sikap bermaruah melepaskan jawatannya kerana beliau sendiri gagal mentadbir Kementerian ini dengan baik. Tidak kah beliau sedar bahawa sudah ada 17 kemalangan sebelum ini. Apa yang menyedihkan apabila kerajaan menolak untuk menukarkan Nuri dengan pesawat lain pada 2004 kerana faktor kewangan tetapi sanggup melabur untuk menganjur F1, Formula Boat dan terbaru WPI.
Ini semua melambangkan sikap tida prihatin kerajaan terhadap isu keselamatan dan kebajikan tentera.
Kesimpulan
Jika kita lihat dari dua masalah ini, maka keputusannya ialahh mereka yang bertanggungjawab perlu meletakkan jawatan sebagai satu maruah diri dan sikap bertanggungjawab mereka. Tindakan ini akan dianggap terhormat dan penuh bermaruah.
Rakyat pula boleh memastikan mereka yang tidak mahu melakukannya diturunkan pada PRU akan datang. Rakyat mesti berani menunjukkan people power dan citizen speak kepada kerajaan.